ARKIB : 27/08/2014
Nasib pelajar kolej jururawat swasta
Beberapa jururawat memberi layanan mesra kepada pesakit. Kejururawatan adalah kerjaya murni dan dihormati orang ramai. - GAMBAR HIASAN
SAYA adalah salah seorang pelajar jururawat di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur, ingin menyatakan rasa kecewa dengan cara pengambilan jururawat sama ada di hospital kerajaan mahupun swasta.
Saya dan ramai rakan masih lagi tidak mendapat pekerjaan sebagai jururawat di mana-mana hospital. Sebilangan kecil rakan-rakan yang sudah mempunyai pekerjaan di hospital swasta kerana dibantu oleh `orang dalam`.
Saya adalah pemegang Diploma Kejururawatan. Saya memulakan pengajian pada 2008 dan sepanjang tempoh pengajian, saya dihantar untuk melakukan latihan amali di hospital kerajaan.
Antaranya, Hospital Pulau Pinang, Hospital Kulim Kedah, Hospital Sibu Sarawak, Hospital Kajang, Hospital Jengka Pahang dan Klinik Kesihatan Simpang Ampat, Kedah.
Saya tamat pengajian pada 2011 dan telah lulus Ujian Lembaga Jururawat.Setelah tamat pengajian, saya telah mengisi permohonan jururawat secara atas talian di laman portal SPA.
Di samping itu, saya juga menghantar permohonan jawatan jururawat di hospital-hospital swasta seperti Columbia Asia, Hospital KPJ serta lain-lain hospital swasta.
Saya ada menerima panggilan temuduga di beberapa hospital swasta contohnya seperti KPJ Johor, Mount Miriam Cancer Hospital Penang, Island Hospital Penang dan pusat haemodialisis di Petaling Jaya.
Namun malangnya setiap hospital yang saya hadiri untuk temuduga mengecewakan. Ini kerana mereka inginkan calon yang berpengalaman sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun.
Walaupun saya memiliki CGPA 3.5 ke atas, namun saya gagal untuk mendapat pekerjaan. Hanya kerana tidak mempunyai pengalaman pekerjaan di hospital.
Jika saya tidak diberi peluang untuk bekerja di hospital, bagaimana saya boleh memiliki pengalaman. Mereka rata-rata menyatakan latihan praktikal yang saya jalani semasa di kolej sahaja tidak mencukupi untuk saya mendapat pekerjaan sebagai jururawat di hospital.
Sedangkan sukatan pelajaran yang kami belajar di kolej swasta adalah selari dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Kecewa dengan kegagalan temuduga di setiap hospital, saya nekad mencari pekerjaan lain dari bidang kejururawatan, mengenangkan hutang PTPTN sebanyak RM60,000 yang perlu dilunaskan.
Pada awal April 2012, saya memohon pekerjaan di sebuah bank. Akhirnya saya dipanggil untuk temuduga di bank tersebut dan berjaya dalam temuduga itu. Walaupun hati saya kecewa tetapi saya masih lagi menantikan panggilan dari mana-mana hospital.
Pada November 2013, saya telah menerima surat panggilan temuduga jururawat daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Temuduga yang saya hadiri bertempat di Wima Ansar Johor Bharu.
Rata-rata yang menghadiri temuduga adalah mereka yang berkhidmat di hospital swasta.
Pada Disember 2013, saya menerima surat jawapan temuduga.
Jawapan yang saya terima adalah sebagai Calon Simpanan Lantikan. Surat tersebut juga menyatakan tempoh simpanan lantikan adalah selama setahun.
Saya ada menghubungi rakan-rakan yang sama-sama menghadiri temuduga tersebut, rata-rata yang bekerja di hospital swasta yang berjaya mendapatkan jawatan jururawat kerajaan.Calon yang tidak berpengalaman hanya menjadi calon simpanan sehingga kini.
Kini sudah hampir September 2014, hanya tinggal beberapa bulan sahaja untuk tamat tempoh sebagai calon simpanan lantikan. Terasa rugi dengan pengajian yang saya ambil selama 3 tahun dengan kos PTPTN yang berjumlah RM60,000 dan masih lagi tidak bekerja sebagai jururawat.
Diploma Kejururawatan yang saya perolehi saya gunakan untuk bekerja di bank dan bukan di hospital. Walaupun saya bekerja di bank dan bukan di hospital, atas dasar tanggungjawab sebagai seorang berhutang dan sebagai seorang Muslim yang memegang amanah, saya tetap membayar pinjaman PTPTN tiap bulan. Harapan saya dan juga rakan-rakan yang senasib seperti saya akan dibela.
Saya percaya pihak kerajaan mahupun swasta masih lagi kekurangan kakitangan. Jika diberi peluang dan latihan pasti kami yang tidak berpengalaman boleh menjadi mahir serta mendapat tempat untuk berkhidmat.
Sekaligus kami pelajar swasta yang mengambil pinjaman PTPTN boleh membayar semula pinjaman tersebut melalui potongan gaji. Saya harap ilmu yang saya perolehi selama 3 tahun dapat dimanfaatkan dan tidak dipersiakan.
Terima kasih.
Yang benar,
AMIRAH ABDUL HAMID
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Forum/20140827/fo_01/Nasib-pelajar-kolej-jururawat-swasta#ixzz46CL0E0v7
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan